Saturday, July 23, 2005

Meraikan Hari Kebangsaan Malaysia

Pada 31 Ogos 1957, Allahyaraham Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama, melaungkan perkataan, Merdeka! Merdeka! Merdeka! di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Itulah permulaannya sambutan hari kemerdekaan Malaysia.

Hari kebangsaan negara ini disambut di seluruh negara Malaysia pada 31 Ogos setiap tahun bagi menandakan negara bebas dari belenggu penjajah British sejak 1957. Hari kebangsaan merupakan peristiwa utama dan disambut secara besar-besaran dengan mengadakan perarakan warna warni, konsert, pertunjukan pentas, pertandingan dan pelbagai lagi pertunjukan yang diadakan di tempat-tempat yang ditetapkan setiap tahun.

Kemeriahan Hari Kebangsaan dapat dirasakan bermula menjelangnya pukul 12.00 malam di mana bunga api yang berwarna-warni bergemerlapan di udara. Begitu juga acara perbarisan yang diwakili oleh pelbagai agensi turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana hari tersebut. Hari kebangsaan disambut paling meriah di Kuala Lumpur terutama di Dataran Merdeka.

Sambutan hari kebangsaan secara besar-besaran juga dibuat di Putra Jaya. Bangunan- bangunan perniagaan, rumah kediaman dan kereta-kereta akan memasang dan mengibarkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang, dan ini menyemarakkan lagi suasana perayaan. Hari kebangsaan merupakan hari cuti di Malaysia.

Sumber: Mohamed Yosri Mohamed Yong